Pengakuan 2 Chef Hotel 5*
Assalamualaikum,
Pada hari Ahad yang lepas, sekiranya anda mendengar siaran Radio 24 bersama
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada jam 2 pm , terdapat satu
wawancara yang sangat menarik di antara Pengulas Radio 24, Tokki dan 2
orang Chef.
Isu ini begitu menarik sehinggakan saya terasa rugi jika tidak mendengar
celoteh mereka walaupun hanya hendak bangun ke tandas. Isu kepenggunaan
kali ini ialah tentang Halal atau Tidak Halal Makanan yang Dihidangkan di
Hotel 5 bintang.
Seperti yang kita maklum, waktu orang Islam berpusu-pusu untuk makan di
Hotel 5 bintang ialah ketika bulan Ramadhan. Bukan sahaja individu, malah
syarikat-syarikat juga menjamu pekerja-pekerja dan pelanggan masing-masing
di Jamuan Berbuka Puasa di Hotel 5 bintang. Maklumlah, Setelah penat dan
lapar berpuasa pada siangnya, tentulah waktu untuk berbuka itu sewajarnya
diiringi dengan juadah-juadah yang lazat dan sedap.
Tetapi jangan terkejut kerana hidangan anda di Restoran 5 Bintang itu belum
tentu HALAL. Apa hukumnya puasa anda sekiranya berbuka dengan makanan yang
Haram?
Yang menariknya di dalam program ini, 2 orang Chef telah bersama-sama
menceriakan rancangan ini. Apa kata mereka?
Salah seorang Chef memberitahu, dari pengalamannya dahulu, di dalam retoran
hotel 5 bintang yang menghidangkan buffet, terdapat 5 bahagian dapur
masakan (Masakan Melayu, Masakan Barat, Masakan Cina.... tak ingat lagi
dua). Setiap satu dapur diketuai seorang Chef yang dipanggil Eksekutif
Chef. Di dalam buffet, setiap dapur akan memasak makanan tertentu untuk
buffet tersebut. Resepi-resepi untuk makanan yang dimasak daripada setiap
dapur adalah hak mutlak Eksekutif Chef. Ini bermakna tiada orang lain
berhak memberi komen tentang resipi yang telah ditetapkan oleh Eksekutif
Chef.
Eksekutif Chef ini terdiri daripada orang yang pakar dan ahli di dalam
masakannya untuk menjaga kualiti makanan yang dihasilkan (5 bintang lah
katakan...). Sekiranya Dapur Masakan Melayu tentulah eksekutif Chefnya
adalah seorang Melayu. Sekiranya western maka pakarnya tentulah orang dari
luar negara, begitu juga masakan cina dan lain lain.
Sesetengah Chef yang mungkin berasal dari luar negara mempunyai cara
memasak mereka yang tersendiri. Jika mereka sudah biasa meletakkan arak di
dalam makanan di luar negara, mereka pasti akan meletakkan Arak ketika
memasak di dapur sini.
Salah seorang chef berkata, ketika beliau baru memulakan kerjayanya, beliau
melihat bagaimana arak dituang di dalam sup bawang (onion soup) yang
dimasak di Hotel 5 bintang ini. Chef itu juga berkata, di atas ruang rak
tempat memasak sup-sup, berbaris berjenis-jenis botol arak bersama-sama
dengan rencah-rencah lain untuk dibuat sup. Jika tidak silap saya, bukan
sup sahaja makanan yang mengandungi arak.
Selain daripada Arak , ada yang lebih menarik lagi tentang pendedahan ini.
Menurut chef tersebut, terdapat dua mesin pengisar daging di dapur tempat
beliau bekerja. Satu bertulis "PORK" pada papan tanda berdekatan dan satu
lagi bertulis "NON-PORK". Tapi dia amat kecut perut.. bila semua orang
seperti tak nampak (atau buat-buat tak nampak) sahaja papan tanda itu...
Kejap yang pork dimasukkan ke mesin yang ini, sekejap yang di sana ...
sehinggakan, beliau terpaksa mengangkat tanah dan air untuk mencuci mesin
tersebut setiap kali habis bertugas. Yang memakan masakan itu pula ialah
kita.
Pada kebiasaannya, sesetengah hotel mengasingkan pinggan yang digunakan
untuk menghidangkan khinzir di satu tempat yang berasingan untuk dicuci.
Ini adalah kerana, pencuci pinggan dahulunya adalah di kalangan orang
Islam. Tetapi menurut chef itu sekarang, pencuci pinggan adalah di kalangan
orang Myanmar dan Bangladesh . Mereka bukannya tahu pinggan mana yang ada
khinzir ataupun tidak. Untuk memudahkan kerja, semuanya dicampurkan sekali.
Habis semuanya....
Chef itu juga ada bercerita tentang kek-kek yang dihidangkan yang mempunyai
arak, contohnya tiramisu. Banyak juga dessert dan kek yang tidak halal
dihidangkan.
Adakalanya, daging yang di grill, ayam-ayam atau makanan yang dibakar
adalah halal. Begitu juga dengan makanan laut. Namun, Chef menasihatkan
agar lebih berhati-hati dengan pelbagai sos atau pencicah yang disediakan
bersama kerana ia dikhuatiri tidak halal.
Ada juga pada waktu waktu tertentu chef ini akan keluar dan melihat-lihat
para pelanggan. Sekiranya beliau melihat orang Islam mendekati
makanan-makanan yang tidak halal, maka dia akan mendekati mereka dan
berbisik "Encik, makanan ni tidak halal...". Tapi tentulah banyak daripada
masa mereka berada di dalam dapur. Jadi nasiblah kepada para pelanggan
Islam yang lain sekiranya tidak sengaja menikmati makanan yang haram.
JAKIM telah memberi sijil Halal kepada 3 buah hotel sahaja tetapi sampai
tamat program wawancara Radio 24 itu, saya tidak dapat menangkap nama Hotel
5 Bintang yang mana satu. D'Saji Felda telah diiktiraf Halal oleh JAKIM
menurut Tokki (PPIM) cuma ia bukan nama Hotel 5 Bintang yang ingin saya
dengar.
Saya berasa sangat terkesan di dalam hati apabila mendengar program ini dan
pendedahan pengalaman-pengalaman daripada 2 orang Chef jemputan. Salah
seorangnya kini telah menjadi Ketua Chef untuk Tabung Haji dan salah
seorang lagi bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat makanan. Ia
menjadi pengajaran kepada kita bahawa makanan yang nampak mahal dan sedap
itu tidak semestinya memberi manfaat kepada kita.
p/s: Isu ini memang isu lame..tapi same2 lah kita saling beringat
Friday, March 27, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)